Jadi DJ cara KJ sindir UMNO

Khairy
Khairy
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima tawaran menjadi penyampai radio (DJ) disifatkan sebagai satu cara beliau menyindir dan mengkritik UMNO, parti yang memecatnya sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpandangan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra dipanggil KJ membuktikan bahawa banyak pihak lain yang ingin bersamanya setelah beliau dipecat.

“Jadi DJ ibarat satu parodi, cara beliau sindir kepimpinan. Maknanya nak cakap walaupun dibuang (daripada UMNO), banyak pihak yang sudi menerimanya. UMNO buang Khairy, tetapi sekejap sahaja orang ambil.

“Maksudnya, mereka telah membuang seseorang yang popular. Ini boleh dianggap sebagai satu kritikan daripada Khairy untuk UMNO.

“Kita lihat contoh, bagaimana anak-anak muda zaman ini menunjukkan mereka sedang protes? (Tindakan) Khairy ini adalah satu protes kepada dunia politik.

Mazlan
Mazlan

“Beliau melemparkan kritikan tersebut melalui parodi, dengan menerima tawaran menjadi DJ,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, selepas tidak menyandang sebarang jawatan dalam parti politik dan kerajaan, bekas Menteri Kesihatan itu bakal memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio HotFM bermula Rabu depan.

Mazlan turut mengakui bahawa Khairy merupakan ikon anak muda dan majoriti penyokongnya adalah dalam kalangan generasi Y.

Justeru, ujarnya, tidak hairanlah bekas Ahli Parlimen Rembau itu kini membuat cubaan untuk terjun ke dunia glamor.

“Tidak sesuai jika ada yang nak bandingkan beliau dengan pemimpin yang pernah keluar UMNO sebelum ini seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini kerana individu yang menyokongnya adalah dalam kumpulan generasi Y yang sinonim dengan dunia hiburan dan glamor di media sosial.

“Cara ini sesuai dengan dunia politik Khairy, orang tidak akan anggap beliau buang tabiat dan tak mustahil beliau akan menjadi pemain bola sepak pula selepas ini,” jelas beliau.

Tambahnya, Khairy merupakan susuk pemimpin yang popular dalam parti, namun berdepan masalah dengan kepimpinan.

“Kesilapan Khairy yang nyata adalah semasa berkempen di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dipilih sebagai calon BN tetapi kritik kepimpinan UMNO dan kesannya beliau dipecat.

“Sedangkan jika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, melihat pengalaman dan popularitinya, saya jamin beliau boleh menang.

“Namun saya tidak fikir Khairy akan tubuhkan parti baharu, beliau tetap setia dengan UMNO. Berdasarkan pengalaman lalu, ada pemimpin yang dipecat daripada parti, akhirnya balik semula jadi pemimpin besar.

“Khairy juga tidak sesuai dengan Pas atau DAP. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin sesuai, tetapi beliau sebenarnya perlu (berada dalam) UMNO juga,” jelasnya.