[VIDEO] Tiada lagi pelekat cukai jalan, kad lesen fizikal

Anthony menunjukkan aplikasi MyJPJ yang memaparkan LKM dan LMM secara digital.
Anthony menunjukkan aplikasi MyJPJ yang memaparkan LKM dan LMM secara digital.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital, mulai hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, paparan digital tersebut boleh didapati melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

"Menerusi inisiatif ini, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi akan dikuatkuasakan," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, pelaksanaan pendigitalan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal milik warganegara.

"Langkah ini mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum memperluaskan ke fasa seterusnya," katanya.

Beliau berkata, peralihan kepada platform digital akan mengurangkan kesesakan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat.

"Rakyat kini hanya perlu tunjukkan lesen memandu dan cukai jalan secara digital sekiranya perlu," katanya.

Anthony berkata, pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia untuk beralih kepada digital masih boleh memperoleh atau mengekalkan amalan kebiasaan LMM dalam tempoh interim.

"Dalam tempoh interim sehingga hujung tahun ini, tiada paksaan atau tindakan dikenakan," katanya.

Menyentuh mengenai penguatkuasaan, beliau berkata, pendigitalan LKM dan LMM menjadi lebih mudah.

"Penguatkuasaan JPJ adalah selari dengan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Ditanya mengenai masalah yang bakal timbul sekiranya terdapat gangguan capaian internet, Anthony berkata, pemilik lesen boleh menyimpan salinan tangkap layar untuk tujuan pemeriksaan penguatkuasaan.

"Begitu juga jika anda memandu kenderaan bukan milik sendiri. Pemilik kenderaan boleh mencetak cukai jalan dan menyimpannya di dalam kenderaan atau menyerahkan kepada pemandu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembaharuan LKM dan LMM, Anthony berkata ia boleh dibuat melalui Portal Awam JPJ, lebih 200 kiosk JPJ, atau pihak ketiga iaitu MyEG dan Pos Malaysia.

"Bezanya tidak perlu cetak dan minta hantar ke rumah," katanya.

Dengan pelaksanaan pengiditalan LKM dan LMM tersebut, beliau berkata, ia mampu menjimatkan sehingga RM96 juta setahun.

"Kita jimat cetak pelekat kerana setiap bulan bilangan LKM yang perlu diperbaharui di seluruh negara melebihi satu juta.

Secara purata 1.5 juta kenderaan memperbaharui LKM setiap bulan," katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, beliau telah menandatangani pewartaan mengenai perkara tersebut dan dijangka akan mengambil masa sehingga tiga minggu untuk digazetkan.