GSPP sedia bot penyelamat, bantu operasi banjir

Ahmad Ridhwan (kiri) bergambar bersama Boon Soon (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan bot penyelamat di IPD Kuala Langat
Ahmad Ridhwan (kiri) bergambar bersama Boon Soon (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan bot penyelamat di IPD Kuala Langat
A
A
A

KUALA LANGAT - Pengilang kertas dan kotak beralun bersepadu, GS Paperboard & Packaging Sdn Bhd (GSPP) berbesar hati menyediakan sebuah bot penyelamat bernilai RM31,000 untuk guna sama bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Penyerahan bot penyelamat tersebut disempurnakan oleh Presiden GSPP, Sia Boon Soon kepada Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor di dalam satu majlis ringkas di IPD Kuala Langat, pada Khamis.

Menurut Boon Soon, sebagai sebuah syarikat yang telah 32 tahun bertapak di Kuala Langat, GSPP giat membantu komuniti melalui pelbagai cara, antaranya dengan penubuhan ‘food bank’ bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik di bandar Banting.

"Selain itu, syarikat juga turut melaksanakan pengagihan topeng muka serta cecair sanitasi di hospital dan beberapa sekolah di daerah Kuala Langat semasa negara dilanda Covid-19 antara 2020 hingga 2021.

"Diharap dengan adanya bot penyelamat ini dapat membantu pihak polis untuk menggerakkan misi menyelamat dengan lebih pantas tatkala banjir melanda daerah Kuala Langat seperti yang berlaku pada Disember 2021," katanya dalam ucapan di sini.

Tambahnya, diharap aset menyelamat yang baharu ini juga dapat meningkatkan kecekapan, ketangkasan dan kesiapsiagaan pihak IPD Kuala Langat dalam menghadapi bencana atau detik cemas ketika dilanda banjir pada masa yang akan datang.

Boon Soon (tengah) memeriksa bot penyelamat yang disumbangkan pihak GSPP kepada IPD Kuala Langat.
Boon Soon (tengah) memeriksa bot penyelamat yang disumbangkan pihak GSPP kepada IPD Kuala Langat.

Ujar Boon Soon, beliau amat berbesar hati untuk menyerahkan bot ini kepada pihak IPD Kuala Langat.

Sementara itu, Ahmad Ridhwan berkata, beliau merakam jutaan terima kasih tidak terhingga kepada GSPP atas penyediaan bot penyelamat.

"Ia merupakan satu sumbangan besar kepada PDRM khususnya IPD Kuala Langat.

"Seperti yang diketahui, pada Disember 2021, Selangor dilanda banjir besar dan Kuala Langat antara daerah yang terjejas.

"Kita, GSPP dan komuniti saling bekerjasama antara satu sama lain. Terima kasih kepada GSPP kerana prihatin dengan perkara ini bagi melancarkan lagi operasi menyelamat di Kuala Langat," katanya.

Katanya lagi, pihak polis sangat berbesar hati dengan penyerahan bot ini.

Ahmad Ridhwan (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Boon Soon ketika majlis penyerahan bot penyelamat di IPD Kuala Langat.
Ahmad Ridhwan (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Boon Soon ketika majlis penyerahan bot penyelamat di IPD Kuala Langat.

"Adanya aset ini, diharap usaha bantu komuniti banjir menjadi sangat efisien," katanya.

Tambah Ahmad Ridhwan, GSPP juga turut terlibat dalam membantu pihaknya sebagai barisan hadapan ketika pandemik Covid-19 lalu dengan menyumbang makanan dan lain-lain.