Peringatan awal buat Malaysian Tigers

Para pemain Malaysian Tigers ketika menggalas cabaran negara di Piala Dunia 2023 di India bulan lalu. FOTO: Malaysian Hockey Confederation
Para pemain Malaysian Tigers ketika menggalas cabaran negara di Piala Dunia 2023 di India bulan lalu. FOTO: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

BARISAN pemain negara dituntut sentiasa mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi apabila menggalas cabaran pasukan masing-masing dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.

Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, beliau akan sentiasa memantau tahap disiplin dan prestasi anak-anak buahnya sepanjang beraksi di pentas MHL musim ini.

Menurutnya, saingan liga domestik itu juga adalah pentas penilaian pertama buat kesemua pemain sebelum mereka menyahut cabaran Malaysia pada Sukan Asia 2023 Hangzhou.

“Saingan Liga Hoki Malaysia 2023 ini juga merupakan kejuaraan kompetitif pertama kepada para pemain selepas berakhirnya kejohanan hoki Piala Dunia 2023 di India baru-baru ini.

“Jadi saya mahu para pemain Malaysian Tigers memberikan aksi terbaik bersama pasukan masing-masing, demi lencana di dada seperti ketika mewakili Malaysia sebelum ini.

“Setiap pemain perlu pamerkan karakter leadership tidak hanya di padang tetapi juga di luar padang kerana secara tidak langsung menjadi contoh kepada para pemain muda khasnya.

“Jadi contoh dan tauladan serta aura positif terutamanya semasa sesi latihan atau hari perlawanan, untuk yang pertama sampai dan terakhir pulang,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama Arul juga percaya MHL 2023 pentas aksi kompetitif untuk skuad projek lelaki negara sebelum kempen Piala Dunia Remaja 2023 pada Disember depan.

Tambahnya, skuad 20 para pemain kendalian Muhamad Amin Rahim perlu memanfaatkan saingan melibatkan 14 pasukan itu

“Ya, mereka merupakan skuad muda yang bertenaga tambahan pula selepas mengakhiri siri jelajah di Australia dengan keputusan membanggakan.

“Jadi peluang beraksi sebagai satu unit dalam saingan MHL 2023 perlu digunakan bagi melakukan penambahbaikan setiap aspek pasukan.

“Paling penting saya harap pasukan ini akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan dalam meningkatkan potensi diri masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, anak buah Muhamad Amin bakal menggunakan nama Young Tigers pada saingan MHL 2023 kali ini.