SAJI Seikhlas Hati bantu usahawan asnaf

Dari kiri: Zulkifli Othman, Ketua Bahagian Hiliran, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, FGV Holdings Berhad, Haslinda Abd Hamid, Pengarah Langkawi Tourism Academy, Kolej Komuniti Langkawi, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab, Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato’ Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan diikuti Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Delima Oil Products Sdn. Bhd.
Dari kiri: Zulkifli Othman, Ketua Bahagian Hiliran, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, FGV Holdings Berhad, Haslinda Abd Hamid, Pengarah Langkawi Tourism Academy, Kolej Komuniti Langkawi, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab, Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato’ Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan diikuti Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Delima Oil Products Sdn. Bhd.
A
A
A

FGV Holdings Berhad melalui anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) melancarkan Program Pembangunan Usahawan Asnaf bagi membantu golongan tersebut membangunkan perniagaan sendiri, pada Khamis.

Pengerusinya, Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tersebut merupakan kerjasama antara FGV, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Kolej Komuniti Langkawi.

Jelas beliau, FGV akan menyalurkan bantuan iaitu dengan memberikan pengetahuan, latihan berasaskan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan.

"10 usahawan asnaf terpilih di Kedah merupakan kumpulan pertama peserta program itu dan menerima kit penggalak bernilai RM5,000 terdiri daripada peralatan memasak dan membakar serta bahan mentah, termasuk ramuan produk untuk membantu memulakan perniagaan mereka.

“SAJI Seikhlas Hati adalah satu inisiatif murni dalam melaksanakan bantuan sosial yang menyeluruh dan meluas kepada kumpulan sasar, iaitu golongan yang memerlukan.

“Program ini akan menyediakan bantuan dan perkhidmatan sokongan, termasuk bantuan makanan bulanan, perkhidmatan latihan berasaskan kemahiran, ziarah dan program bantuan, dan tidak lupa inisiatif kebajikan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, SAJI Seikhlas Hati adalah usaha berterusan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah dan sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup melalui program keusahawanan yang berkaitan.

“FGV komited untuk memastikan peserta program menerima manfaat jangka masa panjang daripada inisiatif ini. Jadi ia akan menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat,” ujarnya.

Tambah Dzulkifli, selain bantuan kewangan, penerima juga akan menerima pelbagai produk SAJI daripada DOPSB seperti minyak masak, santan, krimer dan marjerin selain peruntukan RM250,000 untuk program latihan dan kursus yang bersesuaian.

Jelasnya, FGV berazam untuk membuat perubahan yang besar dan bermakna dalam menyokong rakyat Malaysia yang layak melalui inisiatif SAJI Seikhlas Hati dengan peruntukan lebih RM3 juta untuk keseluruhan program di pelbagai lokasi di seluruh negara.

“FGV menyasarkan untuk memperluaskan program ini ke tujuh negeri lain iaitu Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur dengan jangkaan 100 peserta.

“Sebagai sebahagian daripada kempen SAJI Seikhlas Hati, FGV juga telah merangka beberapa program sepanjang tahun termasuk pengagihan minyak masak percuma kepada golongan sasar dan program pengagihan bubur lambuk pada bulan Ramadan akan datang bersama masyarakat dan anak-anak yatim,” jelasnya.