Dua sekolah di Rembau terima dana PAAB RM25,000

Zulkiflee (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di SK Astana Raja, Rembau pada Khamis.
Zulkiflee (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di SK Astana Raja, Rembau pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Kementerian Kewangan memilih dua buah sekolah di daerah ini untuk menerima dana melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAAB School Sustainability yang mula diperkenalkan pada 2019.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Zulkiflee Omar, dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja dan SK Tun Haji Abdul Malek yang masing- masing menerima dana berjumlah RM25,000.

"Program ini merupakan inisiatif syarikat ini untuk menaik taraf kemudahan bekalan air di sekolah-sekolah yang terlibat.

"Ia bagi memastikan semua pelajar dan guru dapat menjalani sesi pembelajaran dengan lebih kondusif tanpa sebarang gangguan bekalan air yang boleh mengganggu kelancaran sesi persekolahan," katanya ketika merasmikan Kempen Kesedaran Air PAAB di SK Astana Raja di sini pada Khamis.

Zulkiflee berkata, program ini bermula pada Oktober tahun lalu dengan kerja-kerja menaik taraf kemudahan bekalan air dijalankan dalam tempoh tiga bulan menggunakan peruntukkan berkenaan.

"Tiga bulan berikutnya pula adalah untuk memupuk budaya penjimatan air di peringkat sekolah kepada semua pelajar dan guru menerusi Kempen Kesedaran Air PAAB.

"Pemilihan kedua-dua sekolah itu adalah berdasarkan kedudukannya yang terletak dalam jajaran projek pembinaan Loji Rawatan Air Sawah Raja Fasa 2 serta kerja-kerja pemasangan paip air dan tangki imbangan Bukit Sembilan di sekitar daerah ini.

"Kesemua projek berkenaan bernilai RM79 juta mula dibina pada November 2015 dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu," katanya.