KJ mulakan tugas penyampai radio minggu depan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas tidak menyandang sebarang jawatan dalam parti politik dan kerajaan, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bakal memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM bermula Rabu depan.

Media Prima Audio (MPA) dalam kenyataan memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan mengendalikan segmen Bekfest HOT bersama rakan penyampai lain iaitu Johan, Fara Fauzana dan AG.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, stesen radio tersebut mengambil peluang untuk menawarkan Khairy sebagai penyampai radio sebagai usaha untuk memastikan pengisian dan kandungan segmen berkenaan lebih segar dan relevan kepada pendengar.

"Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin hebat, tetapi beliau juga pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

"Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

Tangkap layar Instagram stories Khairy.
Tangkap layar Instagram stories Khairy.

"Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu Khairy turut mengesahkan dirinya bakal menyertai stesen radio berkenaan dalam temuramah menerusi panggilan telefon pada segmen Bekpes HOT yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada pagi Khamis.

Selain itu beliau turut berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran poster di Instagram stories 'What's next? (apa seterusnya).

Khairy sebelum ini berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau sebelum tewas kepada R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH) dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Sungai Buluh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Selain menerajui Kementerian Kesihatan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Sains, teknologi dan Inovasi serta Menteri Belia dan Sukan.