Dakwaan UMNO mahu banyak kerusi di Kelantan tidak berasas

Nor Hariri, Mohd Amar
Nor Hariri, Mohd Amar
A
A
A
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa UMNO mahu lebih banyak kerusi daripada parti itu tidak berasas sama sekali.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Nor Hariri Mohamed Nor berkata, kenyataan itu dilihat lebih kepada memberi gambaran yang salah tentang pengalaman mereka dengan UMNO sebelum ini.

"Untuk makluman semua, sepanjang bersama dalam Muafakat Nasional (MN), tidak pernah ada rundingan rasmi lagi antara BN dan Pas Kelantan berkaitan dengan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ini tuduhan tak berasas. Mana pernah lagi kita berunding," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menegaskan demikian selepas diminta mengulas kenyataan Mohd Amar yang meramalkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan konflik dari segi pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, pengalaman Pas yang pernah bekerjasama sebelum ini menyaksikan UMNO mahu banyak kerusi.

Nor Hariri memberitahu, sepanjang kerjasama menerusi MN hanya dua kali sahaja mesyuarat dijalankan secara rasmi.

Ujarnya, mesyuarat itu melibatkan pelantikan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung supaya melihat tiga gabungan parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggambarkan kerjasama kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.

"Tetapi ianya tidak berlaku. Persetujuan awal untuk lantikan itu telah bertukar kepada hanya melantik sebagai jawatankuasa sahaja.

"Awal-awal lagi Mohd Amar yang menjadi Pengerusi Mesyuarat ketika itu tidak menghormati keputusan mesyuarat. Dia yang khianat dan tamak sebenarnya," katanya.

Tambah Nor Hariri, dia yakin rundingan antara UMNO dan PH di Kelantan ini akan berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

"Tidak seperti pengalaman rundingan dengan wakil Pas di pusat sebelum ini yang bercakap lain, buatnya lain.

"Sentiasa berubah-rubah mengikut sedap rasa kepentingan mereka. Tidak menggambarkan langsung konsep perundingan dalam Islam," katanya.