Isteri bekas Ahli Parlimen Jempol meninggal dunia

Isteri bekas Ahli Parlimen Jempol meninggal dunia akibat kanser darah. - Foto Facebook Dato Shamshulkahar Mohd Deli
Isteri bekas Ahli Parlimen Jempol meninggal dunia akibat kanser darah. - Foto Facebook Dato Shamshulkahar Mohd Deli
A
A
A

JEMPOL - Isteri kepada bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif iaitu Datin Seri Fazidah Abdul Rahman meninggal dunia akibat kanser darah pada pagi Khamis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mohd Salim melalui aplikasi WhatsApp.

"Assalamualaikum WBT dimaklumkan isteri saya yang tercinta telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.28 pagi hari ini (Khamis). Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di HCTM

(Hospital Canselor Tuanku Muhriz).

"Seterusnya jenazah akan dibawa ke rumah di Sri Carcosa, Seremban 2 dan disolatkan di Masjid Hussien, Seremban 2 yang dijangkakan selepas solat Asar.

"Mohon doa agar roh isteri saya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dalam kenyataan di Facebook rasminya mengucapkan takziah atas pemergian isteri Mohd Salim.

"Saya bagi pihak pengurus pejabat Parlimen Jempol serta seluruh ahli UMNO Bahagian Jempol mengucapkan salam takziah seisi keluarga kepada bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif di atas pemergian isteri tercinta beliau pagi tadi.

"Saya mendoakan agar roh isteri beliau ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Salim mahu memberi tumpuan penuh kepada isterinya yang sedang koma dan dirawat di hospital akibat kanser darah.

Katanya, beliau tidak mahu menambah keadaan resah dan runsing berhubung penggantungannya sebagai ahli UMNO selama enam tahun seperti yang diumumkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.