[VIDEO] SPRM digesa siasat dakwaan PH, BN belanja mewah PRU15

Badrolhisham (dua dari kiri) sebaik selesai membuat laporan di pejabat SPRM Terengganu pada Khamis.
Badrolhisham (dua dari kiri) sebaik selesai membuat laporan di pejabat SPRM Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan BN berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohamed @ Shafie berkata, laporan itu dibuat susulan penularan kandungan video dari laman sosial (YouTube) oleh Raja Petra Raja Kamaruddin beberapa hari lalu yang mendakwa BN berbelanja RM6 juta dan PH belanja RM10 juta bagi setiap satu kerusi Parlimen.

"Berdasarkan kandungan video tersebut, beliau memberitahu BN telah membelanjakan sejumlah RM1.074 bilion bagi 179 kerusi Parlimen manakala PH membelanjakan RM2.2 bilion bagi 220 kerusi Parlimen ketika PRU15 lalu.

"Jumlah itu dilihat terlalu besar bagi mana-mana parti politik di Malaysia sekali gus menimbulkan keraguan oleh pelbagai pihak dari mana sumber dana itu diperoleh," ujarnya.

Menurut Badrolhisham, laporan itu selesai diserahkan kira-kira tiga jam bermula jam 10 pagi pada Khamis.

Menurutnya, SPRM juga digesa melakukan siasatan terhadap dakwaan Raja Petra mengenai perbelanjaan mewah termasuk penggunaan helikopter semasa PRU15.

"Kita minta SPRM siasat parti berkenaan termasuk ahli parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya termasuk struktur organisasi parti.

"Kita serahkan kepada SPRM untuk siasat sama ada berlaku transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa PRU15 lalu," ujarnya.

Selain itu, katanya, mereka turut meminta badan anti rasuah berkenaan menyiasat sumber pendapatan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa hidup mewah tanpa mengambil gaji.