Perhilitan pantau kemunculan harimau belang di Dungun

Penemuan harimau belang di laluan berhampiran Kampung Jongok Batu, Dungun yang tular di media sosial.
Penemuan harimau belang di laluan berhampiran Kampung Jongok Batu, Dungun yang tular di media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu melakukan pemantauan susulan penemuan seekor harimau belang di laluan berhampiran Kampung Jongok Batu, Dungun pada minggu lalu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, laporan kemunculan haiwan tersebut bukan satu perkara pelik kerana kawasan itu terletak berhampiran hutan simpan yang merupakan habitat harimau.

"Kita ada menerima laporan mengenai penemuan harimau ini dan pasukan Perhilitan sudah membuat pemantauan sewajarnya di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memberhentikan kenderaan untuk merakam gambar atau video sekiranya terserempak dengan harimau belang bagi mengelak sebarang ancaman.

Kean Seong berkata, masyarakat juga diharap tidak berkongsi penemuan haiwan tersebut di dalam media sosial kerana bimbang maklumat itu menarik kehadiran pemburu haram.

"Sebaliknya segera laporkan sebarang penemuan haiwan liar kepada Pejabat Perhilitan berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Setakat ini, kita sudah menerima dua laporan berhubung harimau belang sepanjang bulan Januari tahun ini," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kehadiran seekor harimau belang di jalan berhampiran Kampung Jongok Batu yang ditemui pengguna jalan raya tersebut.