Dakwaan Ismail Sabri ditekan, Zahid tiada pandangan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob bahawa beliau ditekan oleh pimpinan parti hanyalah pendapat peribadi Naib Presiden UMNO itu sendiri.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri berhak membuat kenyataan itu namun ia terserah kepada rakyat untuk diadili.

"Selalunya seseorang tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun, lima atau sembilan tahun... 22 bulan, 17 bulan, atau 14 bulan, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tidak baik," katanya sinis.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau tidak mempunyai sebarang pandangan yang boleh menyanggah atau bersetuju dengan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri.

"Jadi kita serahkan kepada masyarakat terutamanya ahli- ahli untuk menilai sendiri," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.

Terdahulu, menerusi wawancara sebuah akhbar tempatan Ismail Sabri berkata, dirinya ditekan oleh pemimpin parti sendiri seolah-olah beliau bukan Perdana Menteri daripada UMNO.