Perlu bebas, laksanakan transformasi SPRM

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Nurhayati Nordin
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilaksanakan dan merupakan satu langkah penting terutama memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pihaknya menerusi tuntutan Politik Malaysia Tanpa Rasuah sebelum ini ada menyatakan tentang kepentingan kebebasan terhadap SPRM.

Malah, katanya, menerusi sidang akhbar khas yang diadakan pada Januari tahun lalu, Rasuah Busters bersama rakan gabungan mencadangkan solusi transformasi suruhanjaya tersebut.

“Kita di Rasuah Busters melihat usaha ini adalah satu platform yang paling penting untuk negara memperbaiki kedudukan CPI dan menangani isu rasuah.

“Selain itu, pelaksanaan transformasi SPRM diharap dapat mengelak berlakunya campur tangan pihak eksekutif, seterusnya mewujudkan proses semak imbang yang telus.

“Malah dengan pelaksanaan ini, ia diharap dapat membebaskan SPRM daripada pengaruh pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, matlamat akhir melakukan transformasi SPRM adalah bertujuan meningkatkan kewibawaan dan fungsi suruhanjaya tersebut, supaya lebih dipercayai serta dihormati.

“Rasuah Busters sejak awal lagi cukup bertekad untuk melihat SPRM sebagai sebuah badan yang membawa mandat yang dipercayai dan melaksanakan keadilan terutamanya ketika bercakap tentang rasuah.

“Kesan rasuah adalah sangat besar dan sensitif kepada rakyat kerana ia melibatkan hak rakyat, maka keadilan perlu dipertonjolkan oleh SPRM.

“Insya-ALLAH dengan wujudnya transformasi holistik dan komprehensif ini, kita berharap semua pihak akan mengambil peranan masing-masing dengan tahap kecekapan tinggi serta sistem pentadbiran yang lebih berakauntabiliti,” katanya.

Beliau memberitahu, menerusi pelaksanaan transformasi segera SPRM, diharap negara akan dapat melihat keberhasilan yang memanfaatkan Malaysia sebagai sebuah negara Madani bebas daripada korupsi.

Tegasnya, SPRM merupakan sebuah entiti yang sangat dipercayai dalam proses pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah.

Oleh yang demikian, menurutnya, setiap individu juga bertanggungjawab sebagai rakyat prihatin membantu suruhanjaya itu kembali disegani.

“Yang penting, jika kita hidup dalam penafian dan tidak bersedia melakukan transformasi, bimbang akan berlakunya konflik kepentingan dan potensi wujudnya isu ketirisan atau pendakwaan terpilih akan berlaku.

“Kemerosotan CPI boleh ditangani bermula dengan sebuah transformasi yang dilakukan secara serius dan dapat diterima secara terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, Rasuah Busters bersama rakan gabungan turut mencadangkan satu badan yang dinamakan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah untuk menyelia mana-mana agensi pencegahan rasuah di negara ini.

Jelasnya, badan tersebut dianggotai oleh 40 peratus daripada masyarakat sivil, manakala selebihnya daripada sektor awam.

Menurut beliau lagi, keanggotaan daripada dua kelompok itu penting bagi mendapatkan pandangan kolektif, malah kemungkinan mempunyai kajian-kajian yang boleh diguna pakai bagi membentuk keseimbangan dalam sektor awam.

Enam tuntutan Politik#MalaysiaTanpaRasuah

1. Pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

2. Mempercepatkan pembentangan dan perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik.

3. Memastikan kebebasan dan ketelusan institusi, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

4. Memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti.

5. Pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18.

6. Melaksanakan reformasi Parlimen.