Kemasukan pelancong asing ke Pulau Pinang meningkat 8,445 peratus

Soon Hin (tengah) memegang replika kad menunjukkan peningkatan kemasukkan pelancong asing di LTAPP sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka pada sidang akhbar pada Rabu.
Soon Hin (tengah) memegang replika kad menunjukkan peningkatan kemasukkan pelancong asing di LTAPP sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka pada sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Sektor pelancongan Pulau Pinang menunjukkan pemulihan mendadak selepas terhenti seketika selama dua tahun akibat penularan wabak Covid-19.

Pemulihan yang pantas itu dapat dilihat daripada jumlah peningkatan penumpang domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang meningkat 681 peratus, iaitu 4.24 juta pada 2022 berbanding 543,519 orang pada 2021.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Yeoh Soon Hin berkata, data pada 2019 iaitu sebelum wabak merekodkan jumlah penumpang masuk dan keluar adalah 8.3 juta.

Menurutnya, bagi tahun 2022 pula, walaupun hanya sembilan bulan selepas sempadan antarabangsa dibuka, jumlah penumpang mencatatkan 4.24 juta iaitu kadar pemulihan sehingga 50.93 peratus.

"Pelbagai inisiatif dan usaha berterusan kerajaan Pulau Pinang melalui PETACE ketika dan selepas penularan wabak itu telah memberi sumbangan besar kepada pemulihan yang pantas terhadap industri pelancongan di negeri ini.

"Pemulihan sektor pelancongan di Pulau Pinang dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah penerbangan terus antarabangsa serta jumlah penumpang setelah kerajaan mengumumkan pembukaan pintu sempadan antarabangsa pada 1 April 2022.

"Dengan perkembangan yang ditunjukkan, saya yakin Pulau Pinang akan cemerlang dan berada dalam senarai teratas untuk destinasi kegemaran, sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong luar. Ini kerana sejak April 2022, jumlah penerbangan terus antarabangsa menunjukkan peningkatan luar biasa," katanya pada sidang akhbar di Hotel The George di sini pada Rabu.

Tambah beliau, bilangan penerbangan terus antarabangsa telah meningkat daripada 10 penerbangan mingguan pada November 2021 kepada 184 penerbangan mingguan pada Disember 2022, iaitu peningkatan sebanyak 1,740 peratus.

"Sementara itu, ketibaan penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 8,445 peratus, iaitu daripada 7,367 pada 2021 kepada 629,476 orang pada 2022.

"Pulau Pinang yakin aura positif pemulihan ini akan berterusan selepas China membuka semula sempadan antarabangsanya. Kita akan mengaktifkan semula program pemasaran dan kempen untuk menarik lebih ramai pelancong dengan pemilihan pakej dan pendekatan yang menarik," katanya.

Beliau menambah, penerbangan terus antarabangsa dari Guangzhou ke Pulau Pinang akan bermula pada 1 Mac ini dan ia dijangka menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong asing ke negeri ini.

Kata beliau lagi, kerajaan Pulau Pinang melalui PETACE dengan kerjasama pemain industri antaranya Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd (MAHB) dan agensi pelancongan akan mengumpul idea dalam memperkukuhkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

"Antara yang dirangka adalah menghasilkan kempen strategik seperti pakej pelancongan berbaloi dan pelancaran tiket penerbangan terus mampu milik untuk menarik pelancong ke Pulau Pinang," katanya.