MP 'backbencher' disaran sertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Johari ketika berucap pada Majlis Temu Mesra Speaker Dewan Rakyat bersama media pada Rabu.
Johari ketika berucap pada Majlis Temu Mesra Speaker Dewan Rakyat bersama media pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif (backbencher) disaran untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas melalui Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Isnin ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya bersedia menambah sehingga 13 jawatan bagi memastikan semua ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang berperanan dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mempengerusikan satu mesyuarat pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi membincangkan keahlian baharu.

"Saya mahu ahli Parlimen 'backbencher' sama ada dari kerajaan atau pembangkang berada dalam jawatankuasa khas ini di mana semua pihak mempunyai peranannya.

"Perbincangan akan dibuat bulan ini, daripada 10 jawatankuasa khas akan tambah kepada 13. Mereka akan diberikan kakitangan dan peruntukan bagi setiap jawatankuasa khas (dan) setiap jawatankuas mungkin (dianggotai) lapan hingga 10 orang, tidak termasuk eksekutif.

“Ahli Parlimen patut cemerlang, mereka tidak boleh buat aduan (beritahu) tidak cukup masa untuk berdebat dalam dewan kerana mereka perlu menunjukkan prestasi dalam jawatankuasa itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Speaker Dewan Rakyat bersama media di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Pada sesi penggal Parlimen sebelum ini, hanya 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak.

Sementara itu Johari turut memaklumkan, Ahli Parlimen yang melanggar peraturan termasuk membuat kenyataan berbaur seksis dalam sidang Dewan Rakyat berisiko berdepan tindakan penalti sehingga RM10,000.

Beliau menegaskan, tindakan berkenaan boleh dilaksanakan melalui penggubalan satu peraturan yang sedang diusahakan.

"Saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim untuk kita duduk dan gubal satu peraturan jelas.

"Melalui Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) bagi penalti cuma RM1,000, mungkin kita boleh pergi sehingga RM10,000, kita tak tahu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Johari mahu melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasa Parlimen termasuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina.