Rugi lebih RM89,000 terjerat sindiket tipu tawaran kerja

(Gambar kecil: Ramli) Bayaran komisen RM5 hanya untuk 'follow' dan 'like' bagi setiap satu laman di media sosial yang diberikan menjerat seorang pengurus kewangan sebuah syarikat hingga kerugian lebih RM89,000. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
(Gambar kecil: Ramli) Bayaran komisen RM5 hanya untuk 'follow' dan 'like' bagi setiap satu laman di media sosial yang diberikan menjerat seorang pengurus kewangan sebuah syarikat hingga kerugian lebih RM89,000. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUANTAN - Bayaran komisen RM5 hanya untuk 'follow' dan 'like' bagi setiap satu laman di media sosial yang diberikan menjerat seorang pengurus kewangan sebuah syarikat hingga kerugian lebih RM89,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa, seorang wanita berusia 34 tahun menerima pesanan WhatsApp menawarkan peluang kerja sambilan di laman sosial Instagram pada 4 Februari lalu.

Menurutnya, mangsa berminat dan melaksanakan kerja itu dengan menyelesaikan tiga tugasan diberikan.

"Bagi tiga tugasan itu, mangsa telah menerima bayaran komisen sebanyak RM590 sehingga mendorongnya untuk 'melabur' dengan jumlah yang lebih besar.

"Tanpa menyedari bakal ditipu, mangsa nekad membuat 10 transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM89,560 menggunakan wang simpanan dan wang dipinjam daripada salah seorang adiknya," katanya.

Ramli berkata, mangsa menyedari ditipu selepas bayaran dibuat apabila gagal memperoleh komisen seperti dijanjikan malah wang dilaburkan turut lesap.

"Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan pada Selasa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menawarkan pulangan lumayan.

"Buat semakan latar belakang syarikat, nombor telefon dan nombor akaun digunakan bagi mengelak ditipu.

"Semakan nombor telefon dan akaun diterima boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my," jelasnya.