'Lantik anak saya? Rujuk kenyataan sebelum ini' - Johari

Johari dan laporan Sinar Harian
Johari dan laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Johari Abdul mengulangi kenyataan bahawa anaknya mempunyai pengalaman dan kelayakan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Speaker Dewan Rakyat.

Johari yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu meminta pihak media untuk merujuk kepada kenyataan beliau sebelum ini mengenai perkara tersebut.

“Rujuk kenyataan saya sebelum ini,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Speaker Dewan Rakyat bersama media di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Sebelum ini, Johari dilapor akan mempertimbangkan untuk memohon pelantikan Mohamad Iqbal ke jawatan berkenaan selain turut mengesahkan anak sulungnya itu telah menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu.

Desas-desus mengenai pelantikan tersebut tular selepas Penyelaras Penerangan Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan tindakan Johari melantik anaknya sekali gus menghalalkan lantikan bersifat nepotisme.

Melalui portal rasmi Parlimen, nama Mohammed Iqbal diisi sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Yang di-Pertua Dewan Rakyat 1.