Projek LCS: Setiausaha Muda mohon batal pertuduhan mahkamah

Amir Hariri (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk prosiding pengurusan kes membabitkan perhimpunan isu projek LCS pada Rabu.
Amir Hariri (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk prosiding pengurusan kes membabitkan perhimpunan isu projek LCS pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya membabitkan perhimpunan isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

Peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili Amir Hariri, 32, berkata, bantahan awal itu dibuat kerana mereka berpendirian bahawa pertuduhan berkenaan adalah cacat atau defektif.

“Notis itu sudah diserahkan kepada pendakwaan dalam prosiding pagi ini dan mahkamah menetapkan 20 Mac depan untuk failkan hujahan bertulis.

“Pada 27 Mac pula ditetapkan untuk pendengaran bantahan awal,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Sinar Harian melaporkan Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan tersebut.

Tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ pada pada 14 Ogos 2022, didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.

Ketika sidang akhbar, Amir Hariri meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan memaklumkan perkembangan terhadap siasatan projek LCS.

Beliau menggesa agar pihak yang terbabit didakwa di mahkamah dan dihukum.

“Pemimpin Pakatan Harapan (PH) antara yang lantang ketika himpunan itu, malah sebahagiannya sudah menjadi menteri.

“Mungkin mereka lebih tahu dan akan memainkan peranan dalam isu itu,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, kontrak projek LCS diberikan secara rundingan terus kepada BNS dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun, tiada satu kapal LCS yang disiapkan berbanding lima kapal yang perlu diserahkan setakat Ogos.