Pemandu lori tumbuk mesin ATM didenda RM1,200

Tertuduh, P Manoharan mengaku bersalah atas pertuduhan khianat. - Foto Sinar Harian
Tertuduh, P Manoharan mengaku bersalah atas pertuduhan khianat. - Foto Sinar Harian
A
A
A

PORT DICKSON - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menjatuhi hukuman denda RM1,200 terhadap seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menumbuk skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM), bulan lalu.

Tertuduh P Manoharan, 50 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada jam 11.10 pagi, 9 Januari lalu di sebuah bank di Pekan Lukut, Port Dickson didakwa telah melakukan khianat iaitu merosakkan skrin mesin ATM dengan menumbuk mesin tersebut.

Oleh demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan denda yang paling minimum atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Hanya saya seorang bekerja, kesalahan telah dibuat dan saya menyesal.

"Saya mempunyai seorang isteri yang merupakan suri rumah serta dua daripada empat anak adalah orang kelainan upaya (OKU)," katanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas bertindak merosakkan mesin ATM dalam kejadian di sebuah bank di Lukut di sini pada 9 Januari lepas kerana berang wang tidak keluar.