Penyelia pembalakan cedera diserang beruang matahari

Mohd Syukri menunjukkan gambarnya yang cedera diterkam seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Ajil dekat Hulu Terengganu pada Rabu lepas. - Foto Bernama
Mohd Syukri menunjukkan gambarnya yang cedera diterkam seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Ajil dekat Hulu Terengganu pada Rabu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila diterkam seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Ajil dekat Hulu Terengganu, pada Rabu lepas.

Mohd Syukri Zakaria, 39, yang bekerja sebagai penyelia pembalakan berkata, dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu beliau sedang melakukan persiapan untuk memulakan kerja membaiki paip air bersama seorang rakan, sebelum terdengar suatu bunyi yang aneh.

Katanya, beberapa minit selepas itu beliau terlihat seekor beruang matahari keluar dari semak berdekatan dan mengejar serta menerkamnya sehingga beliau rebah.

"Rakan saya berjaya melarikan diri tetapi saya tidak sempat kerana diterkam beruang tersebut. Setelah saya rebah haiwan itu menghantukkan kepalanya ke muka saya. Selepas saya tepis mukanya dengan bahu, ia terus menggigit bahu kiri saya pula sehingga berlubang.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan hanya mampu melaungkan takbir. Selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali beruang itu secara tiba-tiba berhenti menyerang saya dan berlari kembali ke dalam semak. Saya pun berjalan kaki sejauh 20 minit ke rumah kongsi di kawasan pembalakan tempat saya bekerja untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pelong, di sini pada Rabu.

Mohd Syukri berkata, pergelutan yang berlaku sekitar lima minit itu menyebabkan beliau terpaksa dirawat selama lima hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan menerima tujuh jahitan di bahagian muka serta mengalami kecederaan di bahu kiri.

Beliau yang bekerja di kawasan pembalakan di situ sejak lebih setahun lalu telah beberapa kali terserempak dengan beruang matahari yang sama sebelum ini di kawasan tersebut namun haiwan itu akan segera melarikan diri dan kejadian serangan pada pagi Rabu itu adalah yang pertama kali dialaminya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada 2 Februari lepas.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kehadiran seekor anjing yang berada di rumah kongsi yang terletak di kawasan pembalakan berdekatan dan beruang tersebut terlebih dahulu ingin menyerang anjing itu.

"Bagaimanapun anjing itu telah lari dan ketika mengejar anjing itu, beruang tersebut telah terserempak dengan mangsa (Mohd Syukri) yang sedang membaiki paip dan terus menyerangnya,” katanya sambil memaklumkan kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan hutan.

Kean Seong berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

"Kami juga ingin menasihati orang ramai sekiranya terserempak dengan hidupan liar supaya tidak melakukan perbuatan provokasi dan segera beredar dari kawasan tersebut serta memaklumkan kepada pejabat Perhilitan terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama