Dua ejen ah long ugut peniaga didenda RM3,000

Kedua-dua tertuduh (dua dan ketiga dari kiri) didenda RM3,000 lakukan ugutan jenayah.
Kedua-dua tertuduh (dua dan ketiga dari kiri) didenda RM3,000 lakukan ugutan jenayah.
A
A
A

PORT DICKSON - Dua ejen ah long masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang peniaga bulan lalu.

Tertuduh, M.Hashagaan, 25 bekerja sebagai 'office boy' dan S.Kugananthan, 27 penjaga kambing, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh secara bersama-sama telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 45 tahun dengan cara mengeluarkan kata ugutan iaitu 'akan mengambil barang-barang perniagaan dan akan membakar kedai kamu'.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Aman Shah,Port Dickson pada jam lebih kurang 1.20 petang, 17 Januari lalu.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian pada 17 Januari lalu, kedua-dua tertuduh sebagai seorang 'runner' atau ejen ah long yang tidak dikenali telah datang mengancam mangsa untuk mengambil barang perniagaan atau membakar kedainya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap tertuduh,jika gagal bayar dikenakan lima bulan penjara.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.