Tumbuk bahu, tarik rambut ibu kerana ditegur bising

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki menumbuk bahu dan menarik rambut ibunya gara-gara ditegur supaya tidak membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah di sini pada pagi Isnin.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 5.30 pagi itu, mangsa meminta suspek supaya senyap dan pergi tidur.

"Bagaimanapun, suspek memarahi mangsa sebelum bertindak menumbuk bahu, menarik rambut dan menolak mangsa sehingga jatuh.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit di bahagian belakang bahu sebelah kiri dan telah menerima rawatan di Hospital Jempol. Mangsa turut disahkan mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Chang Hook berkata, siasatan mendapati mangsa seorang tukang jahit sejak 19 tahun lepas dan mempunyai empat orang anak manakala suspek tidak bekerja.

"Semasa kejadian suspek dalam keadaan mabuk dan ditahan untuk siasatan lanjut serta direman selama empat hari bermula Selasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!