Peniaga diseru sediakan Menu Rahmah

Mahfuz (tengah) meninjau perlaksanaan Menu Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin, Alor Mengkudu, Alor Setar, pada Selasa.
Mahfuz (tengah) meninjau perlaksanaan Menu Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin, Alor Mengkudu, Alor Setar, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih ramai peniaga makanan diseru menyahut cabaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mewujudkan Menu Rahmah sebagai langkah membantu golongan memerlukan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau yakin inisiatif terbabit akan menjadi satu trend dengan orang ramai berpusu-pusu mencari makanan di kedai menawarkan menu itu.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan inisiatif itu akan diperluaskan bagi memastikan semua orang tanpa mengira latar belakang dapat menerima manfaat daripada perlaksanaan hidangan makanan itu.

"Kami ingin melihat peniaga dari komuniti lain seperti restoran Mamak, restoran makanan Thai, peniaga makanan India, kopitiam Cina untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat.

"Hasilnya perniagaan mereka juga mendapat keuntungan," katanya kepada pemberita selepas meninjau perlaksanaan Menu Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin, Alor Mengkudu, di sini, pada Selasa.

Mahfuz memberitahu, beliau berharap inisiatif itu akan dapat memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia yang sedang bergelut menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Pasar Raya Besar Mydin yang memperkenalkan Menu Rahmah berbeza setiap hari kepada pelanggan pada harga berpatutan.

Sebahagian Menu Rahmah ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin, Alor Mengkudu.
Sebahagian Menu Rahmah ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin, Alor Mengkudu.

"Jadi, mereka dapat membeli makanan tengah hari dan malam. Malah, ada juga menu untuk sarapan dengan harga RM2.50 untuk nasi lemak, dan begitu juga (ada) bihun goreng, mi goreng dan roti goreng," katanya.

Pada Selasa, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.

Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan bagi memastikan golongan B40 mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran menerusi inisiatif itu.

.