Pramusim di Turkiye ujian sebenar pemain Kedah

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain memantau semua pemainnya melakukan regangan ringkas pada hari pertama di Pusat latihan di Ekodizayn Peyzaj Mimarlik, Altanya, Turkiye. - Foto KDA FC
Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain memantau semua pemainnya melakukan regangan ringkas pada hari pertama di Pusat latihan di Ekodizayn Peyzaj Mimarlik, Altanya, Turkiye. - Foto KDA FC
A
A
A

PEMILIK saham majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mahu Sang Kenari memanfaatkan sebaik mungkin ilmu dan pengalaman pramusim 2023 sepanjang berada di Altanya, Turkiye.

Menurutnya, Eropah adalah benua yang terkenal dengan dunia bola sepak dan ini adalah ujian sebenar kepada kepada karakter, kemahiran, cara fikir dan minda semua pemain KDA FC sepanjang 10 hari berada di sana.

“Kami menaruhkan harapan yang tinggi dengan peluang dan ruang yang diberikan kepada pasukan utama kita untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman di Turkiye.

“Ini adalah satu peluang yang jarang berlaku di tempat-tempat lain, Eropah adalah benua yang terkenal dengan dunia bola sepak dan mudah-mudahan Sang Kenari benar-benar dapat memerhati, melihat dan menyerap segala frekuensi serta gelombang suasana tinggi dan mutu bola sepaknya,” katanya yang mahukan aksi terbaik daripada setiap pemain menjelang Liga Super 25 Februari ini.

Sementara itu, KDA FC dalam kenyataannya mengesahkan lokasi kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye adalah di zon yang berbeza dengan empat perlawanan persahabatan akan berlangsung membabitkan Sang Kenari.

Menurutnya, jadual pasukan tidak terjejas manakala perlawanan persahabatan akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Center seperti perancangan awal.

“Perjalanan KDA FC berjalan lancar dan zon gempa bumi di Malatya, Turkiye berada jauh dari kem latihan pasukan Sang Kenari. Doakan semuanya dalam keadaan selamat dan perancangan KDA FC berjalan lancar,” ujarnya.

Sang Kenari akan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).