Gempa bumi di Turkiye tak jejas aksi pramusim Kedah

Aksi pramusim Kedah di Turkiye diteruskan ketika negara itu dilanda gempa bumi pada awal pagi Isnin. - Foto FB Kedah FC
Aksi pramusim Kedah di Turkiye diteruskan ketika negara itu dilanda gempa bumi pada awal pagi Isnin. - Foto FB Kedah FC
A
A
A

AKSI pramusim skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Turkiye akan diteruskan mengikut jadual ketika negara itu digegarkan dengan bencana gempa bumi awal pagi Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali memberitahu, soal keselamatan menjadi keutamaan dan perjalanan delegasi KDA FC ke Eropah dalam siri jelajah pramusim berjalan lancar.

Katanya, lokasi bencana dengan pusat latihan Sang Kenari terletak jauh dan para pemain serta pegawai pasukan berada dalam keadaan selamat.

"Kejadian gempa bumi di Turki adalah di zon yang berbeza dan tidak mengakibatkan jadual pasukan terjejas.

"Empat perlawanan persahabatan akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Center diteruskan seperti perancangan awal," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pasukan pada Isnin.

Cuaca sejuk di Turkiye mencecah 7 darjah celcius. - FB Kedah FC
Cuaca sejuk di Turkiye mencecah 7 darjah celcius. - FB Kedah FC

Khamal Idris turut memohon doa buat mangsa kejadian agar diberi perlindungan oleh ALLAH.

"Pihak pengurusan bersyukur dan mendoakan semuanya dalam lindungan Ilahi dan mangsa terlibat dengan kejadian tersebut selamat dan dipermudahkan semua urusan.

"Terima kasih dari kami di bumi Turki, teruskan sokongan, doa semuanya selamat dan ikuti perkembangan semasa pasukan Sang Kenari di saluran rasmi kelab," katanya.

Sepanjang 10 hari di Antalya, skuad kendalian Nafuzi Zain akan mengadakan empat aksi persahabatan.

Aksi pertama menentang FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, disusuli FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).

Berdasarkan laporan media antarabangsa, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Tenggara Turki yang bersempadan dengan Syria awal pagi Isnin.