Tak serik dipenjara, dua bekas banduan kembali diberkas

Antara barangan yang dirampas dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan suspek di sekitar kawasan Kampung Raja dan Kuala Besut di Terengganu. Gambar kecil: Abdul Rozak
Antara barangan yang dirampas dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan suspek di sekitar kawasan Kampung Raja dan Kuala Besut di Terengganu. Gambar kecil: Abdul Rozak
A
A
A

BESUT - Tidak serik dipenjara, dua bekas banduan yang baru dibebaskan pada November tahun lalu kembali diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah di sekitar Kampung Raja dan Kuala Besut, di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, bekas banduan tersebut ditahan bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 30-an hingga 40-an pada 30 dan 31 Januari lalu.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek digelar 'Geng Amri' merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai buruh.

"Suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

"Pihak polis turut merampas barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan di sekitar kawasan Kampung Raja dan Kuala Besut bermula Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Abdul Rozak berkata, siasatan bagi kes itu dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan di rumah dengan bersembunyi bagi maksud melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan.

"Hasil siasatan ke atas suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, suspek turut mendedahkan penglibatan mereka dalam lima kes jenayah pecah rumah melibatkan kerugian kira-kira RM17,000," ujar beliau.

Katanya, sebelum ini dua daripada tiga suspek itu mempunyai enam hingga lapan rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

Menurut Abdul Rozak, mereka tidak serik dan kembali aktif dalam jenayah pecah rumah selepas dua daripadanya termasuk dalang kumpulan itu keluar penjara pada November tahun lalu.

"IPD Besut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkenaan jenayah kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan itu daripada berleluasa," katanya.