'Tiga ADUN tinggalkan Warisan perlu kosongkan kerusi'

Jaujan Sambakong
Jaujan Sambakong
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan yang meninggalkan parti perlu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan diheret ke mahkamah atas tindakan mereka.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihaknya belum menerima surat berkenaan peletakan jawatan tiga ADUN berkenaan namun ia sudahpun diumumkan pada Isnin menerusi video yang tular.

"Belum terima surat (daripada tiga ADUN). Siapa yang bertindak begitu kepada parti, perlu kosongkan kerusi masing-masing.

"Kita akan hantar ke mahkamah, terpulang kepada mahkamah bila nak dipanggil termasuk yang dulu Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Rina Jainal (Kukusan) dan lain-lain.

"Sama seperti yang dulu akan dikenakan tindakan yang sama, sebab itu peraturan parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah menerima makluman daripada ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Tanjong Kapir, Chong Chen Bin dan ADUN Kunak Norazlina Arif yang keluar parti selain tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka oleh pihak parti.

Tambah Jaujan lagi, perkara yang sama juga turut diambil oleh pemimpin parti lain apabila ada ADUN yang bertindak keluar daripada parti masing-masing.

"Lihat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun begitu, Tan Sri Muhyiddin bawa ke mahkamah, terpulang kepada mahkamahlah," katanya.

Ditanya adakah kesemua ADUN berkenaan pernah menyuarakan hasrat kepada kepimpinan tertinggi, Jaujan berkata, mereka tidak pernah meluahkan perkara itu.

"Tiada bercakap dengan kepimpinan, tetapi makluman daripada sana dan sini, mereka sudah banyak kali menyampaikan hasrat mahu keluar.

"Kita faham dalam mesyuarat mereka tidak berani luahkan, ada yang 'dibeli' pun bersumpah lagi tidak akan tinggalkan Warisan," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa ADUN yang keluar daripada parti itu sebenarnya telah 'dibeli' oleh pihak tertentu.

"Sah (dibeli). Dia (ADUN) sendiri maklumkan bahawa ditawarkan. ada bukti berjumpa dengan pemimpin tertentu sebelum ini dari tahun lalu lagi," katanya.

Jaujan bagaimanapun berkata, ahli parti diminta tidak terlalu risau dengan situasi semasa Warisan ketika ini.

"Ahli parti jangan risau, Warisan masih kuat. Kita nak dalam warisan ini pejuang, bukan petualang," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan tiga ADUN Warisan menerusi satu video yang tular membuat kenyataan bersama bahawa keluar daripada parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.