36 korban banjir lumpur di Peru

Pemandangan udara kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh akibat hujan lebat, di Arequipa. - Foto Reuters
Pemandangan udara kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh akibat hujan lebat, di Arequipa. - Foto Reuters
A
A
A

LIMA - Tiga puluh enam orang terbunuh di Peru selepas banjir lumpur menimbus beberapa perkampungan di Camana, di wilayah selatan Arequipa, pihak berkuasa mengesahkannya pada Isnin.

"Kami baru sahaja bercakap dengan ejen perbandaran sektor Miski yang melaporkan 36 kematian," kata setiausaha teknikal Institut Pertahanan Awam Negara, Wilson Gutierrez, kepada Radio Programs of Peru.

Hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan banjir lumpur yang menjejaskan beberapa perkampungan termasuk di Pampaylima, Venado de Oro, Infiernillo, San Martin, Posko Miski dan Secocha, kesemuanya terletak di daerah Mariano Nicolas Valcarcel, lapor Xinhua.

Sementara itu, Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan (COEN) mengesahkan lima orang lagi masih hilang di wilayah Camana.

Di kawasan perlombongan di Miski dan San Martin, pekerja lombong terkejut dengan kejadian tanah runtuh itu.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan lumpur dan batu menimbus laluan termasuk rumah pasang siap.

Pihak berkuasa tempatan meminta bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada komuniti yang terputus hubungan selepas banjir menjejaskan lebuh raya Secocha-San Martin. - Bernama