Jawi syor masjid, surau doakan keselamatan Turkiye, Syria

Usaha cari dan menyelamat mangsa gempa bumi masih dijalankan di daerah Hama, Syria - Foto Xinhua (gambar dalam : Mohd Ajib)
Usaha cari dan menyelamat mangsa gempa bumi masih dijalankan di daerah Hama, Syria - Foto Xinhua (gambar dalam : Mohd Ajib)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat susulan gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga mereka serta mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang telah kembali ke rahmatullah.

Menurutnya, solat hajat berserta solat jenazah ghaib itu telah dimulakan pada Selasa selepas solat Isyak.

"Program tersebut boleh diteruskan waktu yang sesuai pada malam berikutnya (Selasa) bagi mendoakan keampunan dan kerahmatan bagi mangsa yang telah terkorban.

"Kami merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga serta mendoakan kemudahan dan kelancaran bagi urusan mencari dan menyelamat yang dilaksanakan oleh pasukan berkaitan," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan gempa bumi kuat melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.