Gempa bumi Turkiye: Angka kematian boleh cecah lapan kali ganda

Seorang bayi berjaya ditarik keluar daribbawahbsisa runtuhan di Malatya, Turikye. - Agensi.
Seorang bayi berjaya ditarik keluar daribbawahbsisa runtuhan di Malatya, Turikye. - Agensi.
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa angka kematian akibat gempa bumi kuat di tenggara Turkiye berhampiran sempadan Syria boleh meningkat lapan kali ganda.

Jumlah korban di kedua-kedua negara yang kini berjumlah lebih 3,800 orang telah meningkat secara drastik sejak gempa bumi pertama melanda awal pagi Isnin.

Kira-kira 12 jam kemudian, gegaran kuat kedua melanda lebih jauh ke utara.

"Angka kematian atau mangsa yang cedera akan meningat dengan ketara pada minggu berikutnya," kata pegawai kecemasan kanan WHO untuk Eropah, Catherine Smallwood.

Tambah Smallwood, keadaan bersalji menyukarkan lagi mangsa gempa yang hilang tempat berteduh sekali gus nyawa mereka berada dalam risiko.

Media antarabangsa melaporkan, kebanyakan mangsa gempa bumi di Syria adalah mereka yang menetap di wilayah utara yang dilanda perang, di mana berjuta-juta pelarian tinggal di kem di kedua-dua bahagian sempadan dengan Turkiye.

Terdapat berpuluh-puluh kematian dilaporkan di kawasan yang dikuasai pemberontak.

Sementara itu, beribu-ribu bangunan di kedua-dua negara telah runtuh dengan laluan utama ke lokasi bencana juga terputus.

Antara bangunan yang musnah ialah Istana Gaziantep, sebuah mercu tanda bersejarah yang telah berdiri selama lebih 2,000 tahun di Turkiye.

Wartawan BBC Timur Tengah, Anna Foster melaporkan dari bandar Osmaniye di Turkiye berhampiran pusat gempa, menggambarkan bahawa kawasan bencana berubah umpama padang jarak padang terkukur.

"Kami masih merasakan gegaran susulan yang kerap dan masih terdapat kebimbangan bahawa mungkin lebih banyak bangunan akan runtuh," katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, pasukan penyelamat telah menggandakan usaha mengesan dan mencari mangsa di bawah sisa runtuhan ketika cuaca sejuk dan beku melanda kawasan bencana.

Negara-negara di seluruh dunia turut menghantar sokongan untuk membantu usaha menyelamat termasuk pasukan pakar, anjing penghidu dan peralatan.

Gegaran berukuran 7.8 magnitud itu berlaku pada jam 4.17 (waktu tempatan) pada kedalaman 17.9km berhampiran bandar Gaziantep.

Ahli seismologi berkata, gempa pertama adalah antara yang terbesar pernah direkodkan di Turkiye. Mangsa yang terselamat berkata ia mengambil masa dua minit untuk gegaran berhenti.

Gempa kedua berkekuatan 7.5 magnitud dan pusat gempanya adalah di daerah Elbistan di wilayah Kahramanmaras.

Banyak gegaran susulan masih dirasai di seluruh rantau tersebut.

Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Pada tahun 1999, gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter telah mengorbankan lebih 17,000 nyawa penduduk terutama di Duzce dan Istanbul.

Bencana gempa bumi terburuk di negara itu ialah pada 1939 apabila 33,000 orang maut di wilayah Erzincan timur Turkiye. - Agensi