Mayat di lereng bukit: Pasangan kekasih direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes membunuh seorang lelaki dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek terdiri lelaki dan wanita warga India itu diberkas pada Sabtu.

"Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama kekasihnya yang juga isteri mangsa berusia 25 tahun selepas suspek lelaki terbabit mengaku terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, tiga individu lain yang turut diberkas terdiri daripada dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia disambung reman selama dua hari bagi siasatan selanjutnya.

"Setakat ini tiada tangkapan terbaharu yang dijalankan dan proses bedah siasat dijangka akan dijalankan pada Rabu," katanya.

Pada Sabtu, polis berjaya membongkar kes pembunuhan kejam seorang lelaki yang dipercayai dibunuh teman lelaki isterinya sebelum mayat mangsa ditanam di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua.