Bunuh, tanam mayat suami kekasih di lereng bukit

A
A
A

SUBANG JAYA - Perbuatan kejam seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam pada Khamis berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa.

Menurutnya, pengakuan berkenaan dibuat di kawasan Ampang Jaya sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.

"Soal siasat kemudian membawa ke lokasi mangsa berusia 25 tahun itu dibunuh di lereng bukit belakang sebuah banglo yang dijadikan pusat jagaan orang tua.

Lokasi suspek membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa pada Mei tahun lalu.- Foto PDRM
Lokasi suspek membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa pada Mei tahun lalu.- Foto PDRM

"Mangsa dipercayai dikelar di bahagian leher menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Azlan berkata, pemeriksaan polis menemui bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

Katanya, susulan itu, polis menahan wanita warga India yang juga isteri mangsa dan kekasih kepada suspek.

Mayat mangsa lelaki warga India yang dibunuh dan ditanam pada tahun lalu ditemui di lereng bukit belakang sebuah banglo di Subang Jaya, kelmarin. - Foto PDRM
Mayat mangsa lelaki warga India yang dibunuh dan ditanam pada tahun lalu ditemui di lereng bukit belakang sebuah banglo di Subang Jaya, kelmarin. - Foto PDRM

Tambahnya, turut ditahan adalah dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan.

"Motif pembunuhan dipercayai kerana mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

“Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian ini (pisau) masih belum ditemui dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.