Gerai jual ayam, telur RM10 diserbu

Petugas Jualan Ehsan Rakyat menyusun telur yang diagihkan untuk jualan pada Majlis Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di Ampang pada Sabtu. - Foto Bernama.
Petugas Jualan Ehsan Rakyat menyusun telur yang diagihkan untuk jualan pada Majlis Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di Ampang pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerai jualan ayam dan telur di Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di Taman Nirwana, Ampang di sini menjadi tumpuan apabila diserbu pengunjung untuk mendapatkan bekalan bahan itu dengan harga murah.

Walaupun hanya terhad seekor ayam dan sepapan telur untuk setiap orang, tinjauan mendapati pengunjung sanggup beratur seawal 8 pagi kerana barangan tersebut dijual pada harga runtuh, iaitu masing-masing hanya RM10.

Selain ayam standard dan telur gred B itu, turut dijual pada harga murah ialah daging beku import (RM10 per pek), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Bagi pengunjung Jabariah Hussin, 66, beliau bersyukur terdapat program seumpama itu ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

"Kalau pergi ke mana-mana pasar raya, perbelanjaan untuk membeli enam barangan keperluan asas ini tidak lari daripada RM100, sebab itu makcik pastikan akan sentiasa datang program apabila berkesempatan, banyak jimat,” katanya ketika ditemui pemberita di jualan berkenaan pada Sabtu.

Jackson Liu, 27, pula mengharapkan program tersebut dapat diadakan untuk tempoh yang lama, bagi mengurangi bebanan kos sara hidup ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Izham Hashim berkata, pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk melaksanakan JER 2.0 di 1,200 lokasi berbanding 711 lokasi pada tahun lepas, melalui penganjuran JER 1.0.

"Sejak dilaksanakan tahun lepas, kita dapati sambutan mengalakkan dengan anggaran dua juta penduduk mendapat manfaat.

"Disebabkan itu, tahun ini kita peruntukan RM20 juta agar dapat melaksanakannya di 1,200 lokasi sehingga Mei dan selepas itu, kita akan lihat kewajaran sama ada terdapat keperluan untuk menyambung program atau sebaliknya,” kata beliau.

Inisiatif JER dimulakan pada September lepas, dilaksanakan di sembilan daerah hampir setiap hari dan menawarkan enam barangan keperluan asas pada harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. - Bernama.