Pemain skuasy negara perlu lebih banyak pendedahan

Nicol Ann David
Nicol Ann David
A
A
A

LEGENDA skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyifatkan barisan pemain skuasy negara memerlukan lebih banyak pendedahan menerusi penyertaan dalam kejohanan peringkat antarabangsa bagi mencapai tahap permainan sepertinya.

Nicol yang merupakan pemegang rekod pemain wanita paling lama berada di ranking nombor satu dunia selama 112 bulan sejak 2006 berkata, ia juga membolehkan mereka mendapat pengalaman bertarung dengan pemain handalan dunia yang lain, sekali gus membantu pemain untuk memperbaiki prestasi semasa.

“Secara keseluruhan tahap permainan pemain skuasy negara agak baik, namun masih banyak ruang yang perlu ditambah baik termasuk memberi pendedahan bertanding dengan pemain terbaik dunia sebelum mereka dapat mencapai kejayaan yang saya pernah capai sebelum ini,” katanya baru-baru ini.

Beliau yang pernah memenangi gelaran Terbuka Dunia pada 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010 berkata paling penting ialah kerjasama semua pihak termasuk Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Majlis Sukan Negara dalam memastikan pemain kebangsaan dapat melonjakkan prestasi pada tahap terbaik.

Berdasarkan ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional, pemain terbaik negara ketika ini S. Sivasangari menduduki ranking ke-18 dunia dengan mengumpul 3,050 mata.

Mengenai Sivasangari, Nicol optimis pemain yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya Jun lepas, mampu bangkit semula ke prestasi sebenarnya tidak lama lagi.

“Selepas berjumpa dengannya baru-baru ini, saya lihat beliau masih bersemangat untuk berlatih bersungguh-sungguh. Diharapkan beliau tidak terburu-buru (dalam sesi latihan) dan ikut arahan diberikan dengan sebaiknya kerana saya yakin dia boleh bangkit,” katanya.

Dalam pada itu, Nicol memaklumkan beliau kini sedang sibuk menguruskan serta melatih 60 kanak-kanak daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dalam yayasan diasaskannya iaitu Nicol David Organisation (NDO).

Beliau juga menjangkakan menerima 60 lagi murid sekolah bagi menyertai program di NDO, yang turut menawarkan tutorial bahasa Inggeris dikendalikan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, bulan depan. - Bernama