Suami maut motosikal bertembung Myvi hilang kawalan

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa bersama isteri remuk akibat kemalangan di KM17 Jalan Jerantut-Benta pada Sabtu. Foto: PDRM
Keadaan motosikal ditunggangi mangsa bersama isteri remuk akibat kemalangan di KM17 Jalan Jerantut-Benta pada Sabtu. Foto: PDRM
A
A
A

JERANTUT - Seorang suami maut manakala isterinya cedera apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 17 Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Som di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kemalangan kira-kira jam 10.20 pagi itu melibatkan motosikal jenis SYM dan kereta jenis Perodua Myvi.

Menurutnya, mangsa pekerja ladang berusia 25 tahun yang menunggang motosikal itu maut di tempat kejadian manakala pembonceng yang juga isterinya berusia 25 tahun cedera patah kaki.

"Kemalangan berlaku semasa pemandu kereta berusia 19 tahun itu dari arah Jerantut hendak pulang ke rumahnya di Damak.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai Perodua Myvi itu telah gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh mangsa bersama isterinya.

"Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan pembonceng dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Jerantut untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, keputusan ujian saringan air kencing pemandu kereta terlibat negatif dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," katanya.