Suruhanjaya Indonesia kecam serbuan pekerja asing di Nilai

Komnas HAM Indonesia mengecam serbuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di penempatan pendatang di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.
Komnas HAM Indonesia mengecam serbuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di penempatan pendatang di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia mengecam serbuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di penempatan pendatang di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, agensi berkenaan tidak mematuhi prinsip Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Ujarnya, serbuan itu dilakukan semasa Malaysia masih melaksanakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, yang mengatur semula pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing yang sah.

“Merujuk kepada CRC, penahanan kanak-kanak mesti mematuhi undang-undang dan harus digunakan sebagai langkah terakhir dan untuk masa yang sesingkat mungkin.

“(Penahanan itu) dalam konteks kanak-kanak yang bercanggah dengan undang-undang, dalam kes ini, kanak-kanak berkenaan bukanlah pelanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kanak-kanak itu tidak mendapat hak mereka untuk pendidikan formal yang merupakan hak mereka tanpa mengira status ibu bapa sebagai pekerja asing tanpa izin.

Seramai 67 pendatang tanpa izin termasuk bayi berusia dua bulan, serta kanak-kanak pada umur persekolahan lain yang sedang bersedia untuk integrasi dengan sistem sekolah kebangsaan Indonesia sebaik mereka pulang secara tetap.