'Jika Ahmad Zahid didapati bersalah mesti ada tindakan' - Penganalisis

September tahun lalu, Ahmad Zahid (kiri) dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Gambar fail Awani
September tahun lalu, Ahmad Zahid (kiri) dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Gambar fail Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Disabit bersalah atau sebaliknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap disifatkan sebagai 'liabiliti' dalam Kerajaan Perpaduan, kata penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Salawati Mat Basir.

Menurut beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memiliki pelan untuk memastikan kestabilan kerajaan yang ditadbir oleh beliau, selain usaha untuk memulihkan persepsi rakyat dan pembangkang terhadap Presiden UMNO itu yang menyertai barisan kabinet.

"Sekarang ini kita tak boleh buat apa kerana beliau adalah ketua (Pengerusi) Barisan Nasional (BN). Boleh tak kita lantik orang lain, tak boleh kan?

"Tetapi kes yang dihadapi beliau itu akan menjadi penanda aras kepada kerajaan sebab rakyat akan tengok apa kerajaan boleh buat terhadap beliau, jika didapati bersalah, sebab pendakwa raya nak merayu.

"Jadi kalau ada isu yang berat (seperti kes mahkamah), ia akan menjadi liabiliti kepada kerajaan untuk tangani sebab rakyat akan tengok apa seterusnya? Perdana Menteri kata, kita mahu kerajaan yang bersih... jadi apa tindakan kerajaan?" katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Salawati berkata, sejak pelantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam barisan Jemaah Menteri, timbul tohmahan bahawa ia telah mencacatkan Kerajaan Perpaduan.

"Jadi ia secara tidak langsung, Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada kerajaan.

"Sekiranya Ahmad Zahid didapati bersalah mesti ada tindakan kerana kalau sudah didapati bersalah, mesti beliau tidak boleh berada (dalam kabinet) kerajaan.

"Jadi apa pelan seterusnya... kerana beliau (Anwar) memerlukan gabungan ini? Tak kan nak menghancurkan kerajaan yang ada ketika ini, yang mahu memulihkan negara dan disambut baik oleh rakyat. Kedua, jika Ahmad Zahid tidak bersalah, bagaimana Anwar nak tolak persepsi pembangkang?" soalnya lagi.

Pada masa ini, Ahmad Zahid dalam peringkat membela diri terhadap dakwaan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta.

September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Sementara itu, rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuah VLN dan pusat sehenti ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari depan. - Awani