Mohamed Khaled pengerusikan Mesyuarat UMNO Johor

Mohamed Khaled (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
Mohamed Khaled (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri pada Sabtu selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu tiba di bangunan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini pada jam 9.50 pagi.

Turut mencuri tumpuan, kehadiran Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad yang digugurkan daripada jawatan Pengerusi UMNO Johor pada 27 Januari lalu.

Hasni (kanan) bersalaman dengan Mohamed Khaled di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
Hasni (kanan) bersalaman dengan Mohamed Khaled di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.

Beberapa pemimpin lain turut dilihat hadir antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Difahamkan mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hala tuju UMNO Johor.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi kembali menjawat jawatan Pengerusi UMNO Johor selepas lima tahun jawatan itu disandang Hasni.

Hasni menggantikan Mohamed Khaled sebagai Pengerusi UMNO Johor sejak 2018, sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada Februari 2020, selepas kerajaan PH Johor tumbang.

Bagaimanapun, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Johor pada 27 Januari lalu.

Penggugurannya diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada mesyuarat bulanan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, dua Ketua Bahagian UMNO dari Johor iaitu Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang turut digantung keahlian selama enam tahun.