'Pelantikan bukan untuk menguatkan mana-mana kelompok, kumpulan'

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, pelantikan beliau sebagai Pengerusi UMNO Johor yang baharu bukan sesekali untuk menguatkan mana-mana kelompok dan kumpulan.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, keutamaan beliau pada masa ini adalah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.

"Adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya. Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan insya-Allah akan ada hikmah terpenting daripada segalanya itu.

"Saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti.

"Insya-Allah saya tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa jua.

Semua bagi saya, adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor yang akan dirai dan dihargai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MKT UMNO pada Jumaat menggugurkan Datuk Seri Hasni Mohamad sebagai Pengerusi UMNO Johor dan melantik Mohamed Khaled menggantikannya.

MKT turut menggantung selama enam tahun keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Selain itu MKT UMNO memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi UMNO Johor datang dengan tanggungjawab yang sangat berat.

Bekas Menteri Besar Johor itu merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya.

"Saya juga sangat menghargai sumbangan besar Datuk Hasni Mohammad terhadap UMNO Johor. Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan insya-Allah," katanya.