Jangan 'main rembat'

SATHIANATHAN
SATHIANATHAN
A
A
A

PASUKAN yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dinasihat tidak mengambil pemain import sekadar ‘tangkap muat’ untuk memenuhi sembilan kuota import yang dibenarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, setiap pasukan perlu memastikan import yang dibawa masuk menepati kualiti yang diharapkan dan tidak tertipu dengan ‘tawaran manis’ daripada ejen.

Malah, beliau turut menasihati mana-mana pasukan yang tidak memiliki sumber kewangan yang besar supaya tidak menempah risiko dengan menandatangani sehingga sembilan pemain import.

“Saya nak nasihat pasukan yang tak ada duit, tolonglah jangan tandatangan sampai sembilan pemain import. Elok tandatangan dua atau tiga pemain berkualiti dan selebihnya guna pemain tempatan sahaja.

“Saya pasti ramai juga ejen yang datang sarankan pemain import tertentu sedangkan pemain itu ada yang tidak bagus, lama tidak bermain kerana masalah kecederaan dan sebagainya.

‚Macam tahun lepas, ada satu pasukan yang ambil lima import, tetapi akhirnya seorang saja yang boleh main. Itukan dah jadi rugi kepada pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Terdahulu, MFL membenarkan semua pasukan mendaftarkan sehingga sembilan pemain import bagi menghadapi format baharu Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan enam import dalam satu-satu perlawanan dan lima pemain dibenarkan berada di dalam padang, manakala seorang lagi akan berperanan sebagai pemain gantian.

Dalam pada itu, Sathianathan turut bersetuju kesukaran kepada mana-mana pasukan mendapatkan pemain import berkualiti kerana Liga-M yang dikatakan kurang dikenali.

“Kalau ada banyak duit sekalipun, nak bayar Lionel Messi RM1 juta setiap perlawanan pun dia tak datang sebab dia tahu liga kita ini tak dapat perhatian dunia.

“Jadi, kita perlu terima hakikat memang pemain berkualiti sukar nak datang bermain di Malaysia dan kita perlu cara untuk meningkatkan standard liga kita,” ujarnya.