Hujan lebat dua jam, 15 rumah dimasuki air

Anggota APM mengalih barangan ke tempat selamat di sebuah rumah dimasuki air di Bandar Baharu pada Jumaat. - Foto APM Bandar Baharu
Anggota APM mengalih barangan ke tempat selamat di sebuah rumah dimasuki air di Bandar Baharu pada Jumaat. - Foto APM Bandar Baharu
A
A
A

BANDAR BAHARU - Sebanyak 15 buah rumah dimasuki air akibat banjir kilat di beberapa Kawasan di daerah Bandar Baharu, dekat sini selepas hujan lebat dua jam pada Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA), Abdul Rahim Khairuddin berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) bakal diaktifkan dan dibuka di Sekolah Kebangsaan Relau bagi menempatkan tiga buah keluarga.

Menurutnya, hujan pada jam 3 petang menyaksikan empat buah kampung terkesan iaitu Kampung Paya Semambung, Kampung Kilang Batu, Kampung Tengah dan Kampung Balai Lama.

Anggota APM membantu mengangkat barangan elektrik ke tempat selamat di sebuah rumah dimasuki air di Bandar Baharu pada Jumaat. - Foto APM Bandar Baharu
Anggota APM membantu mengangkat barangan elektrik ke tempat selamat di sebuah rumah dimasuki air di Bandar Baharu pada Jumaat. - Foto APM Bandar Baharu

“Anggota APM telah melakukan pemantauan dan mendapati paras air Sungai di Kampung Tengah berada dalam keadaan waspada serta air sungai bergerak dalam keadaan laju.

“Aliran air deras juga turut mengakibatkan jalan perhubungan di Mukim Relau terputus dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Rahim berkata, anggota APM turut membantu mangsa mengalihkan barangan ke tempat selamat selepas air deras memasuki rumah penduduk.

Tambahnya, semua penduduk yang tunggal di kawasan terjejas diminta untuk menyimpan dokumen penting dan dibawa sekiranya arahan untuk berpindah dikeluarkan berikutan paras air semakin meningkat.