Seberang Perai dilanda banjir kilat

Beberapa kawasan di Seberang Perai dinaiki air selepas hujan lebat berterusan pada petang Jumaat.
Beberapa kawasan di Seberang Perai dinaiki air selepas hujan lebat berterusan pada petang Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa kawasan di Seberang Perai dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang, pada Jumaat.

Antara kawasan yang dilaporkan berlaku banjir kilat ketika ini di Jalan Sungai Baong, Jalan Sungai Duri, Relau dan Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Turut dilaporkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) seperti di Bertam yang mengakibatkan aliran trafik perlahan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, beberapa buah rumah telah ditenggelami air dengan paras dua kaki dan juga berlaku limpahan air di jalan raya.

Menurutnya, tindakan pemantauan banjir di kawasan tersebut sedang dilakukan dan keadaan di lokasi dalam keadaan terkawal.

"Kita sentiasa siap siaga untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa sekiranya keadaan banjir masih berlarutan.

"Sehingga kini tiada mangsa yang dipindahkan," katanya.

Mengikut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada petang hingga malam di beberapa kawasan di Pulau Pinang.