ASF: 11,943 babi di Pulau Pinang dilupuskan

JPVPP telah melupuskan 11,943 ekor babi yang dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF) dari ladang-ladang positif dikenal pasti di negeri ini.
JPVPP telah melupuskan 11,943 ekor babi yang dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF) dari ladang-ladang positif dikenal pasti di negeri ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) telah melupuskan 11,943 ekor babi yang dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF) dari ladang-ladang positif dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat 2 Februari sebanyak 27 ladang babi komersial di negeri ini disahkan dijangkiti ASF termasuk yang terbaru di tiga buah ladang di daerah Barat Daya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan populasi babi yang dijangkiti adalah 62,197 ekor di seluruh Pulau Pinang.

"Kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit.

"Bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu di kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, JPVPP juga telah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV), Putrajaya untuk diangkat ke peringkat seterusnya bagi tindakan lanjut.

Jelasnya, berdasarkan bancian tahun 2022 oleh JPVPP, terdapat 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

"Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPVPP menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki dijangkiti dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF kerana ia bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.

Namun katanya, penyakit berkaitan merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi, sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, penternak dan orang awam diseru supaya segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah (JPVD) terdekat atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menerusi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPVPP di talian 04-5041047.