Kampar, Batu Gajah akan terima 5G selepas Ipoh

Taklimat 5G dan Lawatan ke IIOC di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.
Taklimat 5G dan Lawatan ke IIOC di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Perak akan memperluaskan liputan 5G di kawasan Kampar dan Batu Gajah selepas merealisasikannya di Ipoh.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, bagi tujuan tersebut, pihaknya akan mewujudkan satu badan penyelaras untuk memperluaskan liputan 5G di semua kawasan di negeri ini.

Menurutnya, pelaksanaan 5G di sekitar kawasan Bandar raya Ipoh ketika ini diuruskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Kita akan fokus di kawasan Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah di bawah Greater Ipoh di dalam daerah Kinta dan kita akan berbincang dengan MBI untuk kita selaraskan.

"Akan ada satu penyelaras untuk pelaksanaan seluruh negeri Perak kerana kita tak boleh nak mengharapkan MBI semata-mata, jadi kerajaan negeri akan berbincang di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melantik penyelaras memastikan semua pembangunan 5G ini berjalan secara lancar dan tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat 5G dan Lawatan ke Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada lawatan tersebut, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mohd Azlan Helmi berkata, mesyuarat exco akan menentukan penyelaras bagi pelaksanaan 5G berkenaan sama ada satu jawatankuasa baharu akan diwujudkan atau ia akan diserahkan kepada Digital Perak Corporation Holding (Digital Perak) sepenuhnya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, liputan 5G di Bandar raya Ipoh telah berjaya mencapai 50 peratus kawasan populasi berbanding sasaran ditetapkan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan tetapkan untuk Ipoh, hujung tahun 2023 ini 40 peratus kawasan populasi akan diliputi jaringan 5G di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital manakala tahun hadapan sebanyak 80 peratus liputan.

"Untuk makluman, sehingga pertengahan Januari ini, kita sudah mencapai 50 peratus kawasan berpopulasi walaupun sasaran diletakkan adalah 40 peratus sehingga hujung tahun ini. Kita awal 11 bulan setengah," katanya.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemutihan menara telekomunikasi di bandar raya tersebut secara berperingkat bagi memastikan usaha memperluaskan jaringan 5G di Ipoh tidak terganggu.