Budak main lato-lato dua jam tanpa henti menang kambing

Chesta Khadafi membawa pulang piala dan kambing selepas menjuarai pertandingan lato-lato di Sidoarjo baru-baru ini. - Agensi
Chesta Khadafi membawa pulang piala dan kambing selepas menjuarai pertandingan lato-lato di Sidoarjo baru-baru ini. - Agensi
A
A
A

SURABAYA - Hadiah utama seekor kambing menjadi milik seorang budak lelaki berusia 11 tahun apabila menewaskan ratusan peserta lain dalam pertandingan lato-lato di daerah Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.

Chesta Khadafi dari Sedati dinobatkan sebagai juara selepas bermain lato-lato tanpa henti selama 2 jam 7 minit di pentas final.

Pertandingan tersebut diadakan di Desa Siwalanpanji dan disertai 300 peserta berumur enam hingga 16 tahun.

Penganjur pertandingan, Muhammad Subeki berkata, semua peserta tidak dibenarkan membawa lato-lato sendiri sebaliknya perlu menggunakan lato-lato yang disediakan pihaknya.

Menurutnya, pada pusingan penyingkiran peserta perlu bermain lato-lato selama 10 minit sebelum layak ke separuh akhir.

"Di pusingan separuh akhir pula, peserta diminta bermain lato-lato sambil duduk, mencangkung dan berjalan secara mengundur.

"Seramai 43 peserta layak ke pusingan akhir dan juara ditentukan menerusi ketukan lato-lato paling lama," ujarnya.

Sementara itu, Chesta memberitahu dia melakukan persiapan dan latihan selama seminggu namun tidak meletakkan sasaran juara.

"Memang meletihkan tapi berbaloi. Kambing ini saya hadiahkan kepada kedua orang tua," katanya.

Lato-lato atau Klakers adalah permainan klasik yang popular di Amerika Syarikat (AS) sekitar 70-an kembali popular di Indonesia sejak Disember lalu.

Bagaimanapun, ia dikatakan berbahaya kerana berpotensi mendatangkan kecederaan selain menyumbang kepada pencemaran bunyi.

Di Indonesia, lebih 10 wilayah telah mengharamkan lato-lato di kawasan sekolah. - Agensi