Kapok Design luaskan perniagaan

Tilam dan bantal keluaran Kapok Design telah berada di pasaran sejak 10 tahun lalu.
Tilam dan bantal keluaran Kapok Design telah berada di pasaran sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Berdepan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran perniagaan pasca Covid-19 ketika ini memerlukan perubahan strategi yang lebih kreatif serta keberanian dalam mencari peluang perniagaan baharu.

Langkah tersebut diambil oleh pemilik rangkaian jenama Kapok Design, Mohd Yusof Punjun@Yon, 41, yang terkenal dengan produk barangan keperluan ibu dan bayi di kawasan utara sejak sedekad lalu.

Bagi Mohd Yusof, jatuh bangun dalam mengusahakan perniagaan adalah lumrah yang perlu dihadapi oleh golongan usahawan, namun untuk menyerah kalah dan kekal berada di zon selesa bukan cerminan dirinya.

Mohd Yusof kini mengusahakan perkhidmatan sewaan dewan dan pengurusan acara di Bertam Putra.
Mohd Yusof kini mengusahakan perkhidmatan sewaan dewan dan pengurusan acara di Bertam Putra.

Berkongsi kisah kemunculan jenama Kapok Design yang diusahakannya, bekas eksekutif bank itu berkata, beliau bermula dengan menjual bantal dan tilam khusus untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Strategi memperkenalkan produk keluaran syarikatnya daripada mulut ke mulut yang bermula dengan kenalan dan ahli keluarga terdekat, Mohd Yusof melihat kaedah tersebut membuahkan hasil selepas mendapat sam-butan yang menggalakkan.

Malah, daripada bantal dan tilam dewasa yang dikeluarkan, Kapok Design mengeluarkan pula produk sama untuk bayi dan ibu mengandung sebelum memasarkan pelbagai barangan keperluan lain.

“Alhamdulillah, bermula hanya sebuah kedai yang dibuka di Padang Serai membawa kepada pembukaan tiga buah cawangan lagi di Baling, Sungai Petani dan Kepala Batas termasuk sebuah kilang pengeluaran dalam tempoh 10 tahun beroperasi.

“Boleh dikatakan di Kapok Design kami menjual barangan keperluan khusus untuk membina keluarga bahagia dari mula berkahwin hingga barangan yang digunakan mereka selepas dikurniakan cahaya mata,” katanya di sini baru-baru ini.

Kualiti produk

Mohd Yusof berkata, untuk kekal bertahan dan terus menjadi pilihan, Kapok Design amat mementingkan kualiti produk yang dikeluarkan, sekali gus memberikan keselesaan kepada mereka yang menggunakan bantal dan tilam jenamanya.

Tidak hanya menumpukan kepada cara konvensional, Mohd Yusof turut memanfaatkan teknologi baharu bagi memasarkan produk keluarannya ke seluruh negara melalui perkhidmatan e-dagang.

Mohd Yusof terus cekal mengembangkan perniagaan selepas berjaya dengan jualan barangan keperluan ibu mengandung dan bayi di Kapok Design.
Mohd Yusof terus cekal mengembangkan perniagaan selepas berjaya dengan jualan barangan keperluan ibu mengandung dan bayi di Kapok Design.

Bagaimanapun, jelas beliau, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara beberapa tahun lalu, ia turut memberi kesan kepada perniagaannya selepas terpaksa mengecilkan operasi di dua cawangannya di Sungai Petani dan Baling sementara mencari peluang perniagaan baharu.

Tidak mahu terlalu lama berada dalam situasi tewas dengan dugaan perniagaan, usahawan kelahiran Baling itu tampil membina perniagaan baharu dengan membuka restoran Kapok Cafe di Pusat Bandar Bertam Perdana di sini.

Kapok Cafe yang menyediakan hidangan nasi ganja sebagai menu istimewa di restoran berkenaan turut menyediakan beberapa menu masakan Melayu dan Barat yang pasti memberikan cita rasa berbeza buat pelanggan mereka.

No Image Caption

Langkah berani

Tidak hanya setakat itu, Mohd Yusof mengambil langkah berani dengan menceburi bidang perkhidmatan pengurusan acara dan penyediaan dewan serbaguna yang dikenali sebagai Dewan Kapok Asmara di Bertam Putra.

“Masih memfokuskan konsep perniagaan untuk keluarga bahagia, kali ini kami menyediakan perkhidmatan sewaan dewan dan pengurusan acara.

“Kami menawarkan tempat untuk mengadakan majlis keraian, perhimpunan atau seminar di Dewan Kapok Asmara yang dibuka hujung tahun lalu.

“Dewan berhawa dingin yang boleh memuatkan kira-kira 300 tetamu pada satu-satu masa, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, malah boleh menjadi pusat sehenti buat keluarga yang mahu mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan dengan suasana eksklusif,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan tahun ini, Mohd Yusof bertekad mahu memastikan semua perniagaan yang diusahakannya terus bertahan dan mampu memenuhi keperluan serta memberi kepuasan kepada pelanggan.