Teruja dapat ke Jualan Gudang Karangkraf 2023

Guru dan murid SK Padang Luas, Besut, Terengganu yang mengadakan lawatan ke Kompleks Karangkraf teruja berpeluang berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Khamis.
Guru dan murid SK Padang Luas, Besut, Terengganu yang mengadakan lawatan ke Kompleks Karangkraf teruja berpeluang berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas, Besut, Terengganu telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Warga sekolah berkenaan turut berpeluang berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang berlangsung sejak 27 Januari sehingga 6 Februari ini.

Lawatan yang disertai oleh 38 orang murid terdiri daripada murid Tahap Dua serta enam orang guru pengiring itu tiba di Kompleks Karangkraf seawal jam 8 pagi.

Menurut seorang guru pengiring, Wan Al Fatihah Abdullah, 42, lawatan itu dirancang oleh semua guru bagi tujuan memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai dunia luar.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para murid mengenai dunia luar termasuklah cara berkomunikasi dan bergaul dengan masyarakat massa.

“Bukan itu sahaja, guru-guru juga mahu para murid belajar cara penerbitan sesebuah buku atau majalah dan juga proses melibatkan surat khabar,” ujarnya.

Gambar dari kiri: Wan Al Fatihah, Nur Aleesya, Nur Ariffi Ulfah
Gambar dari kiri: Wan Al Fatihah, Nur Aleesya, Nur Ariffi Ulfah

Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah tidak mengetahui mengenai jualan gudang yang diadakan ketika lawatan tersebut dirancang.

“Pada mulanya, kami hanya merancang untuk membuat lawatan sambil belajar, selain melawat ke tempat-tempat menarik.

“Namun, hari ini (Khamis) adalah rezeki para murid untuk merasai sendiri pengalaman berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf kerana peluang sebegini tidak selalu diperoleh oleh mereka.

“Murid-murid tidak melepaskan peluang membeli buku-buku yang diingini kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan.

“Kami sebagai guru sangat berharap supaya jualan gudang sebegini dapat diadakan di Besut, Terengganu dan sudah pasti kami akan berkunjung lagi,” ujarnya.

Wan Al Fatihah turut memaklumkan bahawa Pengetua SK Padang Luas telah bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan sebanyak RM800 bagi membeli buku-buku di Jualan Gudang Karangkraf untuk kegunaan pusat sumber sekolah demi menarik minat membaca dalam kalangan murid.

“Antara bahan bacaan yang dibeli termasuklah buku-buku berbentuk latihan kepada murid Tahap Satu, novel dan majalah serta ensiklopedia,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengawas SK Padang Luas, Nur Ariffi Ulfah Kamarul Sharidan, 12, berkongsi perasaan gembira apabila dapat berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2023.

“Saya tidak pernah menyaksikan jualan buku secara besar-besaran seperti yang diadakan di Karangkraf. Oleh itu, saya begitu teruja apabila dapat melihat pelbagai jenis buku menarik yang dijual di sini.

“Adik-beradik saya di rumah juga teruja apabila mengetahui mengenai jualan gudang ini sehingga mereka mengirim beberapa buah buku untuk saya beli.

“Saya rasa begitu berbaloi kerana selain mendapat ilmu pengetahuan, saya juga tidak menyangka berpeluang untuk membeli buku dengan harga yang murah,’’ ujarnya.

Seorang lagi murid, Nur Aleesya Ahmad Nazeri, 12, berkata, lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah itu banyak memberi pendedahan kepada mereka.

“Kami bukan sahaja dapat belajar cara untuk berkomunikasi dan membiasakan diri dengan dunia luar, malah kami berpeluang mempelajari kepentingan membaca sejak dari bangku sekolah lagi.

“Saya berharap jualan gudang seperti ini dapat dianjurkan semasa musim cuti sekolah agar ramai lagi murid berpeluang untuk datang bersama-sama keluarga mereka,’’ katanya.

Cabutan bertuah tarik minat pengunjung

Sementara itu, pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan melalui program cabutan bertuah yang disediakan.

Antara hadiah yang bakal dimenangi ialah mesin pencetak, oven, air fryer, bagasi, headphone, vakum, power bank dan speaker.

Cabutan bertuah ini diadakan sebagai penghargaan kepada pengunjung yang membuat pembelian melebihi RM100.

Eksekutif Pemasaran, Nurul Shahirah Jasman, 28, berkata, program cabutan bertuah itu mendapat sambutan hangat memandangkan rata-rata pengunjung membeli barangan melebihi jumlah tersebut.

“Sejak hari pertama jualan gudang ini diadakan, boleh dikatakan semua pengunjung yang layak, sudah mengambil bahagian dalam program ini kerana terdapat pelbagai hadiah lumayan yang disediakan oleh pihak kami,’’ ujarnya.

Tambahnya, seramai sembilan orang pemenang bagi program cabutan bertuah akan diumumkan pada hari terakhir jualan gudang iaitu pada 6 Februari ini.

“Kami berharap program cabutan bertuah ini dapat menarik minat lebih ramai pengunjung untuk datang dan memeriahkan jualan gudang ini,” katanya.

Jualan Gudang Karangkaf 2023 menyediakan program Cabutan Bertuah kepada pengunjung yang membuat pembelian melebihi RM100. -Gambar kecil: Nurul Shahirah (kiri), Rogayah
Jualan Gudang Karangkaf 2023 menyediakan program Cabutan Bertuah kepada pengunjung yang membuat pembelian melebihi RM100. -Gambar kecil: Nurul Shahirah (kiri), Rogayah

Sementara itu, seorang guru yang membuat pembelian hampir RM5,000, Rogayah Mohamed Yusof, 58, berkata, program cabutan bertuah itu dapat menggalakkan orang ramai membeli lebih banyak buku sebagai bahan bacaan.

“Saya bakal bersara, jadi saya beli buku untuk dijadikan hadiah kepada rakan-rakan. Saya juga tidak tahu mengenai program cabutan bertuah ini sehinggalah diberitahu oleh salah seorang kakitangan di sini.

“Program ini wajar dianjurkan kerana ia seperti situasi menang-menang apabila kedua-dua belah pihak mendapat manfaat daripada jualan gudang ini.

“Bak kata pepatah, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Walaupun, belum tentu menang, namun cabutan bertuah ini sememangnya menarik kerana sesiapa sahaja berpeluang menang memandangkan ia terbuka kepada semua pengunjung,’’ katanya.