Moscow beri amaran kepada Israel bekal senjata kepada Ukraine

Seorang wanita sedang berjalan melepas lukisan grafiti peluru berpandu di Kiev. - AFP
Seorang wanita sedang berjalan melepas lukisan grafiti peluru berpandu di Kiev. - AFP
A
A
A

MOSCOW - Rusia memberi amaran kepada Israel supaya tidak membekalkan senjata kepada Ukraine selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyatakan pihaknya sedang mempertimbangkan bantuan ketenteraan kepada Kiev dan bersedia menjadi orang tengah dalam konflik itu.

"Kami menyatakan semua negara yang membekalkan senjata kepada Ukraine perlu memahami bahawa kami akan menganggap senjata ini sebagai sasaran yang sah untuk angkatan tentera Rusia," kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Zakharova.

Sejak permulaan serangan Rusia di Ukraine pada Februari tahun lalu, Israel mengambil langkah berhati-hati terhadap Moscow dan mengekalkan tindakan berkecuali.

Israel menegaskan bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa antara kedua-dua negara itu, memandangkan negara tersebut mempunyai lebih sejuta penduduk dari negara bekas Soviet Union.

Bagaimanapun baru-baru ini, Kremlin memberi amaran mengenai peningkatan dalam konflik di Ukraine apabila negara-negara Barat berusaha membekal lebih banyak senjata kepada Kiev.

"Sebarang percubaan membekalkan senjata tambahan akan membawa kepada peningkatan krisis ini dan semua orang perlu menyedarinya," tambahnya.

Amerika Syarikat dan Jerman menyatakan pada bulan ini bahawa mere akan membekalkan kereta kebal moden kepada Kyiv, namun Ukraine juga meminta penyokongnya untuk menghantarkan jet-jet pejuang dan senjata jarak jauh. - AFP