[VIDEO] Kerajaan Perpaduan perlu buktikan mampu beri rakyat harapan

Shahril
Shahril
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan bahawa mereka mampu memberi harapan baharu kepada rakyat selepas 24 tahun menanti untuk menerajui kepimpinan negara.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini masanya untuk kerajaan buktikan mereka sesuai mentadbir Malaysia.

"Buktikan bahawa setelah sekian lama menanti satu keadaan di mana bukan lagi UMNO dan BN yang memimpin, kerajaan baharu mampu bawa perbezaan apabila memegang tampuk kepimpinan.

"Kalau (kerajaan) yang ini pun tak boleh bagi harapan, kita akan berpusing-pusing dan tak akan maju," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' dikendalikan hos Hazwan Mokhtar yang bersiaran daripada pejabatnya di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memerintah selama 22 bulan tetapi keadaan berlainan daripada sekarang kerana ketika itu Perdana Menteri bukanlah Anwar yang juga Pengerusi PH.

"Kali ini walaupun bukan kerajaan PH sepenuhnya tetapi yang menerajui itu adalah betul-betul pemimpin nombor satu gabungan parti itu.

"Malah menteri ekonomi yang dilantik sekarang juga seorang yang selama ini dilihat kena angkat dalam jemaah kabinet. Jadi sebenarnya 'ramuan' kerajaan dah ada jadi ini masanya untuk dibuktikan," ujarnya.

Shahril (dua kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang dikendalikan hos Hazwan Mokhtar dan disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahril (dua kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang dikendalikan hos Hazwan Mokhtar dan disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau menjelaskan, rakyat Malaysia memerlukan satu keadaan yang boleh memberikan mereka harapan untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik.

"Kalau (kerajaan) ini pun orang anggap sama, apa lagi harapan yang ada untuk Malaysia bangun daripada keadaan yang mendatar dari segi persepsi rakyat.

"Juga perlu buktikan apa yang telah berlaku (dalam politik tanah air) hingga UMNO memilih untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya berbaloi kerana kalau tidak ia hanya bazirkan masa," katanya.