Ahmad Zahid perlu tentang nepotisme dalam Kerajaan Perpaduan

Syed Mohd Syed Nasir
Syed Mohd Syed Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menentang amalan nepotisme yang kini dilihat sedang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan berikutan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir berkata, Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini menentang amalan nepotisme, kronisme dan rasuah sebelum ini malah sehingga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA).

Aktivis Pemuda UMNO itu berkata, Ahmad Zahid tidak seharusnya 'lupa' dan sehingga kini masih tidak bersuara membantah nepotisme yang didakwa sedang berlaku dalam kerajaan pimpinan Anwar.

"Saya ungkapkan semula sejarah Ahmad Zahid ditangkap dan dimasukkan ke dalam ISA kerana menentang nepotisme pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

"Perkara ini pernah disahkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kenyataannya itu boleh dibuktikan kerana pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 29 Ogos 2016.

"Saya hairan kerana Nur Jazlan juga tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan dengan tindakan nepotisme dalam Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Mohd berkata, Presiden UMNO itu sepatutnya terus utuh dengan prinsip menentang nepotisme tetapi malangnya ketika ini beliau tidak lagi lantang dan hanya diam membisu malah seakan membiarkan amalan nepotisme 'tumbuh' dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada September 1998, Ahmad Zahid yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO ditahan di bawah ISA bersama empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau ditahan mengikut Seksyen 73 (1) (a) ISA kerana didakwa mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara.

Penahanan Ahmad Zahid itu dibuat sehari selepas penahanan Anwar dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim di bawah akta yang sama.